SlideShow

0

Rahsia Khusyuk Dalam Sembahyang


Rahsia Khusyuk Dalam Sembahyang

Sembahyang adalah salah satu bentuk penghambaan seorang insan kepada Tuhannya. Di dalamnya terdapat doa-doa dan pujian yang menghubungkan secara langsung hamba dengan Allah. Lima kali sehari cukup berfungsi sebagai tali pengikat insan yang lemah untuk sentiasa mengingati-Nya. Tetapi bukan bererti semasa sembahyang sahaja kita ingat kepada-Nya dan selepas itu kembali lalai. Bahkan sembahyang yang betul dan berkesan dapat mempengaruhi peribadi seseorang sehingga dia merasai pengawasan Allah SWT pada seluruh ruang dan waktu dalam kehidupannya. Masalahnya adalah tidak sedikit orang-orang Islam yang masih kabur tentang makna dan hakikat sembahyang, apatah lagi bagi kita bangsa melayu di mana ramai yang buta dengan bahasa yang digunakan dalam sembahyang. Sehingga kenikmatan ibadat itu tidak dapat sempurna dirasai. Ada juga orang-orang yang berputus asa setelah sekian lama belajar masih belum mendapatkan kepuasan sembahyang yang diimpikan. Dinasihatkan kepada mereka jangan patah semangat untuk terus belajar dan jangan dihiraukan was-was syaitan yang menjejaskan proses ibadat yang paling agung ini. Bahkan orang yang berilmu tinggipun tidak terlepas dari masalah kelalaian dalam sembahyangnya, untuk itu metod murajaah (ulangkaji) dalam menuntut ilmu adalah penting sebagai penyegar kualiti ibadat seseorang. Marilah kita ingatkan diri kita bersama-sama tentang cara mendapatkan khusyuk dalam sembahyang. Ada beberapa faktor penting untuk mendapatkan sembahyang yang khusyuk.
Antaranya ialah:
Bersedia semasa wuduk
Dalam kitab Bidayah al-Hidayah (Permulaan Jalan Hidayat), Imam al-Ghazali mengajarkan kita dengan doa-doa khusus semasa mengambil wuduk. Tidak mengapa jika anda tidak mengamalkan doa-doa yang memang cukup panjang itu tetapi pada hakikatnya beliau mengajak kita untuk menyelami falsafah wuduk yang dilakukan. Bermula dengan membasuh muka, semasa itu hendaklah kita mengingat tentang ayat Allah yang bermaksud: ”Pada hari yang wajah mereka ada yang putih berseri dan ada pula yang hitam muram. (Surah al-Baqarah Ayat 106). Semasa itu kita meminta kepada Allah SWT agar diputihkan muka kerana cahaya sembahyang. Kemudian membasuh kedua tangan hingga ke siku, doa yang dianjurkan ialah, ”Ya Allah berikanlah buku catitan amalanku dari sebelah kanan.” Disambung dengan tertib wuduk yang ketiga iaitu membasuh kepala. Bacalah doa: ”Aku memohon naungan-Mu ya Rabbi pada hari yang tiada naungan selain naungan-Mu.” Yang terakhir adalah membasuh kaki hingga ke buku lali, bacaannya adalah: ”Ya Allah mudahkanlah aku menyeberangi titian sirat nanti.” Dalam makna doa-doa yang dibaca ini, ia mengingatkan kita kepada hari akhirat. Jika dihayati bacaannya, akan lahir perasaan takut kepada Allah SWT yang menyumbang kepada suasana hati yang khusyuk sebelum memasuki sembahyang.
Memahami Makna Bacaan
Bagi mereka yang faham bahasa Arab tidaklah susah untuk mendalami makna-makna ayat yang akan membawa kepada suatu penghayatan yang kuat. Tetapi sebaliknya mereka yang sama sekali buta huruf Arab perlukan usaha yang berterusan dalam menghafal ayat-ayat yang terpenting dari kesemua susunan ayat. Contohnya adalah memilih ayat yang paling memberi kesan di hati seperti Inna shalati, wa nusuki, wa mahyaya, wa mamati lillahi rabbil ’alamin. (Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidup dan matiku adalah milik Allah Tuhan semesta alam) Tiada satupun menjadi hak milik kekal, semuanya adalah pinjaman Allah SWT. Rasa berserah diri dan menghinakan diri di hadapan-Nya serta bergantung sepenuhnya kepada Allah SWT atas segala qadha dan qadhar-Nya. Bertalu-talu menikam perasaan kita. Kemudian bacaan surah al-Fatihah, yang mengandungi puji-pujian kepada Allah Yang Maha Rahman dan Rahim. Penghayatan yang baik ketika melafazkan satu persatu ayat membuka cakerawala minda seorang hamba langsung kepada Allah SWT. Tiada orang tengah antara kita dengan Rabbul Alamin. Segala permintaan didengar dan dimakbulkan. Dilanjutkan dengan bacaan rukuk, iktidal dan sujud penuh tasbih dan pujian kepada Allah SWT dan ingatlah simbol-simbol gerakan itu menunjukkan bahawa kita reda berserah kepada qadha dan qadar dari-Nya. Ketika duduk di antara dua sujud bacalah doanya: Rabbighfirli, warhamni … (Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku, cukupkanlah aku, tinggikanlah darjatku, berikanlah aku rezeki, tunjukilah aku, sihatkanlah aku dan maafkanlah aku). Elok dihafalkan bacaan tersebut dengan maknanya sekali.
Tepis dunia seketika
Apabila sejadah telah dibentangkan dan kedua kaki tegak berdiri di atasnya, jangan biarkan dunia masuk ke dalam benteng hati. Kunci segala pintu yang memanjangkan angan-angan dunia dan tipu dayanya. Kosongkan hati hanya untuk pertemuan dengan Allah SWT. Konsep ihsan amat diperlukan pada saat ini iaitu ”beribadat kepada Allah seakan-akan engkau melihat-Nya, jika engkau tidak mampu melihat-Nya sesungguhnya Ia melihatmu.” Bagi orang yang sentiasa sibuk dengan urusan dunia, sembahyang merupakan terapi yang paling baik untuk meredakan tekanan dan emosi. Gerakannya yang lembut dan teratur disertai dengan tarikan nafas antara ayat-ayat yang dibaca mampu menciptakan suasana hening syahdu. Saat ini banyak orang menggunakan cara meditasi seperti senaman yoga, mandi bunga dan aroma terapi untuk melepas dan meredakan tekanan dan stress, padahal Islam telah mengajarkan zikrullah dan salat sebagai bentuk meditasi terunggul sejak berzaman. Bukankah sebelum sembahyang mesti kita membersihkan diri, memakai wangi-wangian adalah diharuskan dan menjadi Sunnah Rasulullah SAW. Khusyuk hanya dirasakan oleh mereka yang menjaga kebersihan dan keharuman tubuh badan dan pakaian serta tempat salat. Kemudian bagaimanakah cara meninggalkan kesibukan dunia ketika menghadap Allah SWT? Caranya hanya satu iaitu dengan memikirkan dan menghayati hari akhirat. Berdiri di hadapan Allah ketika salat adalah umpama berdiri di hadapan-Nya ketika hari penghisaban, semua amalan akan ditimbang dan kita menunggu nasib diri yang penuh penyesalan. Mengingati saat-saat menyeberangi titian sirat, adakah kaki yang berdiri akan tegak seperti tegaknya dalam sembahyang? Sujud dan rukuk mencerminkan ketakutan dan pengharapan kepada keputusan Allah atas diri kita. Adakah tempatmu di syurga ataukah di neraka? Kepenatan berdiri ketika salat mengingatkan kita pada saat berkumpul di padang mahsyar, sabar dengan ujian di dunia lebih baik daripada siksaan di akhirat!
Jika pemikiran terfokus kepada tayangan-tayangan kengerian di akhirat nescaya tidak ada peluang bagi dunia duduk di tengah-tengah ibadah salat kita.
Sembahyang yang terakhir
Kekuatan penghayatan salat dapat disempurnakan dengan sentiasa ingat kepada mati. Azab dan nikmat kubur terbayang di mata. Manakala malaikat maut seakan-akan berada di belakang kita. Jika salat yang dilakukan sekarang adalah yang terakhir, sudah semestinya kita tidak akan melepaskan peluang ini untuk melakukannya dengan sebaik-baiknya. Anggaplah setiap kali salat adalah yang terakhir dalam hidup kita. Dan alangkah bertuahnya orang yang berakhir nafasnya ketika sujud kepada Allah SWT. Semoga kita dikurniakan nikmat kebaikan sedemikian.
Kesungguhan menundukkan hati kepada Allah SWT akan membuahkan kemanisan beribadat. Ditambah dengan ganjaran kaffarah dosa-dosa setiap kali salat. Rasulullah SAW mengingatkan kita tentang pentingnya mendapatkan salat khusyuk sepertimana sabda baginda SAW: ”Tidaklah tiba waktu salat fardu kepada seseorang, lalu dia membaguskan wuduknya, khusyuknya dan rukuknya melainkan salat itu menjadi penebus dosa-dosanya yang telah lalu, selagi dia tidak mengerjakan dosa besar dan yang demikian itu berlaku berterusan.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Ibadat dalam Islam amat mudah, bahkan ia mengajar kita bersikap optimis. Bagi sesiapa yang berusaha, Allah SWT akan mengampuni dan melenyapkan kesedihan mereka kerana dosa-dosa pada masa lalu. Jadi jangan berputus asa untuk berjuang menegakkan salat dengan sempurna.

0 comments:

Post a Comment